KATA PENGANTAR

11 Agu

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda dan seluruh penolong-penolong agama-Nya.
Sebahagian besar generasi terdahulu mendengar kehebatan kitab al-Hikam, mereka mendalaminya, meneliti dan mengutip mutiara yang ada di dalamnya. Perjalanan masa telah merubah manusia, pemergian generasi yang alim dalam bidang tasawuf amat dirasai, sehingga kitab al-Hikam tidak lagi menjadi teks penting dalam pengajian seharian, samada dalam sistem pendidikan formal maupun yang tidak formal; kecuali sedikit. Sebahagiannya memberi alasan istilah dan penggunaan bahasa yang digunakan sukar untuk difahami dengan sebaiknya. Pandangan ini ditambah dengan sikap untuk menjauhi bidang tariqat dan tasawuf, menyebabkan kitab yang bernilai ini diabaikan oleh generasi kini.
Oleh itu, terdapat beberapa usaha untuk mentafsirkan kitab al-Hikam yang dilakukan oleh sebahagian ulama, dan ternyata khazanah al-Hikam ibarat air lautan, yang tidak akan kering bahkan lagi jauh penerokaan dilakukan, maka lagi banyak khazanah yang dapat dikeluarkan. Umpama lautan, di permukaan manusia belayar, di dalamnya ribuan jenis makhluk hidup, ikan, udang, ketam dan lainnya, manakala di dasarnya menyimpan jutaan khazanah yang bernilai.
Buku Syarah al-Hikam ini merupakan secebis usaha berterusan untuk menggali mutiara yang masih tersembunyi di dalam kitab yang berharga ini. Usaha ini diharapkan dapat menjelaskan kepada umum beberapa persoalan hidup dan kehidupan yang dilalui oleh manusia, kerana putaran kehidupan manusia yang berkisar kepada keperluan zahir dan batin, tidak akan terlepas dari merasai betapa agungnya penciptaan manusia. Akibat fitnah dunia yang dilalui oleh manusia, maka segala khazanah yang berharga telah hilang penilaiannya yang sebenar, menyebabkan manusia bertungkus lumus mencari sesuatu yang akan ditinggalkan; manakala yang akan dibawa diabaikan.
Kitab ini juga diharapkan dapat memberi rangsangan kepada kita semua untuk mendekati kembali jalan-jalan kebenaran yang sebenar melalui usaha mendekatkan diri terhadap Allah s.w.t. Usaha ini tentulah lebih mudah kerana penulis menjelaskan penunjuk-penunjuk bagi melaluinya. Dengan gaya bahasa yang mudah dan ulasan yang baik, maka diharapkan buku Syarah al-Hikam ini menjadi panduan bagi umat Islam umumnya dan pencinta kebenaran hakiki memahami jalan-jalan yang sebenar bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Semoga dengan petunjuk Ilahi yang memandu kita kepada jalan kebenaran saya mengharapkan buku Syarah al-Hikam ini dapat membantu pembaca memahami khazanah yang amat bernilai yang ada di dalam al-Hikam. Di samping ianya menambah koleksi tafsiran dan syarah terhadap kitab ini yang dilakukan oleh para ulama-ulama yang lain.
Saya mengakui penelitian saya yang singkat mungkin terdapat berbagai kelemahan, dan saya mengharapkan agar kita menjadi peneliti yang baik bagi memperindahkan lagi khazanah ilmu ini. Lantaran itu, sebarang pandangan baik dan nasihat yang berguna diharapkan dapat kita kutip samada dari teks asalnya ataupun syarah yang dilakukan oleh penulis.
Semoga kitab ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca sekalian dan sekaligus memantapkan aqidah dan ibadah kita selaras dengan tugas kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.
Sekian, wassalamualaikum wrh wbt.
Akhukum fil Islam
Dato’ Hj. Tuan Ibrahim bin Tuan Man Pensyarah Kanan ITM Cawangan Pahang,
Bandar Pusat Jengka, Pahang.

MUKADIMAH
________________________________________

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda saw.

Daku reda Allah adalah Tuhan, Islam adalah Agama, Nabi Muhammad saw adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah Imam, Kaabah adalah Kiblat dan Mukmin adalah saudara.

Wahai tuhanku! Engkau jualah maksud dan tujuanku dan keredaan Engkau jua yang daku cari. Daku mengharapkan kasih sayang-Mu dan kehampiran-Mu.
Kitab al-Hikam karangan Imam Tajuddin Abu Fadhli Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Askandary boleh dianggap sebagai buku teks yang perlu dipelajari oleh orang-orang yang mahu mendalami ilmu tauhid / tasauf serta berjalan pada jalan kerohanian. Dalamnya mengandungi kata-kata hikmat yang boleh dijadikan petunjuk jalan menuju Allah s.w.t dan mencapai keredaan-Nya.
Pada mulanya daku mengenali Kitab al-Hikam pada namanya sahaja. Apa yang diperkatakan adalah kitab ini merupakan sebuah kitab yang sukar difahami. Hanya sedikit sahaja bilangan guru-guru yang mampu mengajarkan kitab ini. Anggapan yang telah tertanam dalam fikiranku adalah hanya orang-orang yang khusus sahaja layak mempelajari kitab tersebut. Oleh yang demikian daku tidak pernah mencuba untuk mempelajarinya.
Kehendak Allah s.w.t mengatasi segala perkara. Apabila daku dimasukkan ke dalam bidang kerohanian timbullah minat dan kecenderungan untuk mengetahui isi Kitab al-Hikam. Daku mula mempelajari syarah-syarah kitab tersebut yang boleh didapati di kedai-kedai buku. Sedikit sekali kefahaman yang terbuka kepadaku. Kemudian daku mempelajari kitab-kitab tasauf yang boleh daku dapati dari berbagai-bagai sumber. Berbekalkan sedikit pengetahuan dalam ilmu tasauf, daku mempelajari semula Kitab al-Hikam. Apa yang daku fahamkan itu daku tuliskan sebagai satu cara pembelajaran. Beberapa orang sahabat telah membaca teks yang asal dan memberi teguran yang membina. Hasil dari teguran itu daku tulis semula Syarah al-Hikam ini.
Apa yang daku fahamkan dan perolehi dari khazanah al-Hikam ingin daku kongsikan dengan saudara-saudara Muslimku. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan taufik dan hidayat kepada kita semua.
Penyusun Syarah al-Hikam ini bukanlah seorang yang alim dalam ilmu tasauf, apa lagi ilmu fikah. Oleh itu adalah baik jika saudara-saudara yang membaca kitab ini merujukkan kepada orang yang alim. Jika terdapat perbezaan pendapat di antara isi kitab ini dengan perkataan orang alim, anggaplah kefahaman penyusun telah tersilap dan berpeganglah kepada perkataan orang alim. Penyusun memohon kemaafan di atas kesilapan tersebut. Sekiranya apa yang diperkatakan dalam kitab ini adalah benar, maka sesungguhnya kebenaran itu dari Allah s.w.t. Hanya Dia yang patut menerima pujian. Hanya kepada-Nya kita bersyukur.
Wahai saudara-saudaraku yang daku kasihi.
Ilmu adalah nur. Hati juga nur. Dan, Nur adalah salah satu nama daripada Nama-nama Allah s.w.t. Nur Ilahi, hati dan ilmu berhubung rapat. Hati yang suci bersih menjadi bekas yang sesuai untuk menerima pancaran Nur Ilahi. Hati yang dipenuhi oleh Nur Ilahi mampu menerima Nur Ilmu dari alam ghaib. Nur Ilmu yang dari alam ghaib itu membuka hakikat alam dan hakikat Ketuhanan. Hati yang menerima pengalaman hakikat memancarkan nurnya kepada akal. Akal yang menerima pancaran Nur Hati akan dapat memahami perkara ghaib yang dinafikan oleh akal biasa. Bila hati dan akal sudah beriman hilanglah keresahan pada jiwa dan kekeliruan pada akal. Lahirlah ketenangan yang sejati. Hiduplah nafsu muthmainnah menggerakkan sekalian anggota zahir dan batin supaya berbakti kepada Allah s.w.t. Jadilah insan itu seorang hamba yang sesuai zahirnya dengan Syariat dan batinnya dengan kehendak dan lakuan Allah s.w.t. Bila Allah s.w.t memilihnya, maka jadilah dia seorang insan Hamba Rabbani, Khalifah Allah yang diberi tugas khusus dalam melaksanakan kehendak Allah s.w.t di bumi.
Khalifah Allah muncul dalam berbagai-bagai bidang. Mana-mana bidang yang dipimpin oleh Muslim yang bertaraf Khalifah Allah akan menjadi cemerlang dan kaum Muslimin akan mengatasi kaum-kaum lain dalam bidang berkenaan. Khalifah ekonomi akan membawa ekonomi umat Islam mengatasi ekonomi semua kaum lain. Khalifah tentera akan membebaskan umat Islam dari kaum penjajah dan penindas yang zalim. Khalifah dakwah akan membukakan Islam yang sebenarnya dan membersihkannya dari bidaah, kekarutan dan kesesatan. Bila semua bidang kehidupan dipimpin oleh Khalifah Muslim maka umat Islam akan menjadi umat yang teratas dalam segala bidang.
Mulalah bekerja membentuk hati agar ia menjadi bercahaya dengan Nur Ilahi. Nur Ilahi adalah tentera bagi hati yang akan mengalahkan segala jenis senjata dan segala jenis sistem, walau bagaimana canggih sekali pun. Bila Nur Ilahi sudah memenuhi ruang hati umat Islam maka umat Islam akan menjadi satu puak yang tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapa pun, dalam bidang apa sekalipun. Insya-Allah!

Tidaklah Allah memberati suatu diri melainkan sekadar terpikul olehnya. Dia akan mendapat pahala dari apa yang dia usahakan dan akan mendapat siksa atas apa yang dia usahakan pula. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau tuntut kami di atas kealpaan kami dan kekeliruan kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami siksa, sebagaimana yang pernah Engkau pikulkan atas orang-orang yang sebelum kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau timpakan ke atas kami perintah yang tidak bertenaga kami dengan dia, dan maafkanlah (dosa-dosa) kami dan ampunilah kami dan kasihanilah kami; Engkau jualah Penolong kami. Maka tolonglah kami atas mengalahkan kaum yang tidak mahu percaya. (Ayat 286 : Surah al-Baqarah )

Dan tulislah untuk kami satu kebaikan di dunia dan juga akhirat. Sesungguhnya kami telah bertaubat kepada Engkau. ( Ayat 156 : Surah al-A’raaf )

Wahai Tuhan kami! Berilah kami di dunia kebaikan dan di akhirat pun kebaikan. Dan peliharalah kami daripada seksaan neraka. ( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )
Amin! Ya Rabbal ‘Aalamin.
Wassalam.

bercomentarlah dengan santun dan mendidik

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: